Tiba tiba tersadar sudah di penghujung November, sebentar nanti Disember bertandang memberi salam dan pantas akan berlalu juga. Seperti semalam baru meraikan ketibaan tahun baru. Seperti semalam juga baru berkenal mesra dengan tahun 2011 .Masakah yang tercepat, atau akukah yang terlewat? Semalam membaca kenangan sahabat yang mengimbau kenangan silam dari pagar sekolah kami. Tempat dimana kami melayari alam kanak-kanak dan bertukar menjadi remaja. Tempat kami belajar mengenal erti sahabat, erti perpisahan, erti suka dan duka hidup berdikari di asrama penuh, tempat mula mengenal rindu, mula berjinak dengan cinta remaja yang malu malu, mula mencari hala tuju menjejak dewasa. Semua nya seperti baru semalam. Benarlah kata orang, kita tidak akan merindui semuanya melainkan setelah kita tidak lagi memilikinya....kehidupan ini begitu singkat. Terasa seperti mahu saja ku putarkan waktu kemasa itu, dan menukar sesuatu yang terkesan di hati ke arah yang lebih manis...manis? Kenangan memang manis, yang pahitpun bila di terima dengan ikhlas akan menjadi manis..: menjadi sebuah pengajaran...Sesekali, bila rindu menjenguk ke hati, selamilah semuanya dengan senyuman, dengan keikhlasan, agar perjalanan menuju ke hadapan yang mungkin masih panjang akan di isi dengan seribu kebahagiaan. Mungkin.
Sikecil...waktu waktu Terakhir di laman ini...
menoleh sejenak,
pada tembok batu,
pada hijau dedaun,
pada bunga bunga rumput kecil,
pada ilalang,
pada unggas berterbangan..
Dan tersentak aku,
akan cepatnya waktu berlalu,
sebakpun menggamit rindu,
dan aku akur,
bahawa laman ini bukan milik ku.
Sampai sudah masa untuk kita berpisah,
Ku bawa resah,
Jiwa yang pasrah,
kerana kini jasad ini jua telah lelah.
simpanlah salam manis,
dari gumpalan senyum dan tangis,
telah kita pateri sebuah memori,
yang akan sebati di hati.
mungkin kita kan ketemu lagi.
dalam sebuah warkah mimpi.
abadi.
Ojie~19mei11 Copyright Reserved.
Revised 21.11.2011.
No comments:
Post a Comment