salam to All.


Tuesday, January 21, 2014

Kenangan dan air mata

Salam sayang buat semua, kamu, kamu kamu dan kamu...\ya, kamu juga.
Semalam, 18. Jan 2014
dalam meriah bersama si kecil yang ingin makan Pie ayam, kami bersenda di dapur, membiarkan fon di tingkat atas. Seperti ada yang tak kena, perasaan yang kadang melanda tanpa sebab khusus, Lantas apabila pie selamat di dalam oven laju aku memanjat tangga mencapai handphone, dan yeah, yang pertama ditinjau tentunya pesanan dari watsup....
Text pesanan pertama yang tertera membuat aku terus terduduk. diam, tidak bermaya, terasa lemah longlai semua sendi sendi. Aku cuma termanggu tidak percaya. Menanti berita seterusnya untuk di sahkan. Tak kan ada yang ingin bergurau dengan hidup dan mati....Kemudian bertalu-talu text masuk, mengesahkan berita itu. Perlahan-lahan cuba menerima kenyataan bahawa sahabat ku sudah tiada, sudah pergi di jemput Penciptanya dengan tiba-tiba. Baru saja kami bergurau senda di laman watsup hari sebelumnya. 
Dan selebihnya, hari berselubung duka, singkatnya waktu untuk kita bersama....


Semalam
Berlalu seperti mimpi
Antara waktu ketawa kita
Antara titipan rindu yang lara
Antara senda melewati maya
Secebis berita tertera
Tidak mahu kupercaya
Tapi semuanya nyata
Bahawa kau sudah pergi
Kembali ke pangkuan Ilahi
Seakan waktu terhenti di sini
Dan kamu akan sentiasa bersemi 
 bersemayam di hati
Hanya doa dan AlFatihah dapat kuiringi
Sehingga tiba nanti
Kujuga akan menyusuri. 
kerana di situlah tempat bersemadi
yang abadi.

Semuga kamu tenang di sana sahabat, arwah Ojah, rindu ini tidak akan terusir.

AlFatihah. 

Thursday, January 2, 2014

1.1.2014.
Kawan lama dan yam pudding.

Sudah berlalu hari pertama di tahun baru. Masing-masing berkobar-kobar dengan semangat baru dan azam baru.
Aku? Aku amat jarang berazam, aku lebih senang take each day at a time...semua dugaan yang datang menjengah kita dalam kehidupan tidak pernah terselit dalam azam dan perancangan kita setiap tahun. Pengalaman mengajar untuk aku tidak meletak kan harapan tinggi pada sesuatu tahun, bagus berazam, terutama bila azam itu untuk berubah ke arah yang lebih baik, sedikit perubahan yang berjaya di gapai sudah cukup untuk mengembirakan. Sederhana dalam semua bentuk lebih menepati corak kehidupan aku sebenarnya.
Oh, yang ingin ditulis adalah sejarah hari ini, menepati 1.1.14, aku berjaya menghadirkan diri untuk berjumpa sahabat lamaku, sahabat zaman mrsm yang telah terpisah sejak menghabiskan spm!!! Goshhhh...sungguh lama tidak bersua muka! Bila Nora, mengkhabarkan akan ke kuala Lumpur atas sedikit urusan, kami cepat-cepat menyebarkan berita agar sesiapa yang ada kelapangan boleh berkumpul sebagai 'mini gathering' tahun baru, notis amat singkat, hanya kawan-kawan di sekitar KL sahaja boleh segera mengiyakan kehadiran. Walau apa pun, kesudian Nikki untuk menjadi tuan rumah memberi kelebihan yang manis berbanding dengan perjumpaan di restoren atau hotel...selalunya begitu, pertemuan di tempat-tempat awam yang mempunyai had masa dan keadaan sekeliling akan menghadkan pergerakan, perbualan dan aktiviti sahabat-sahabat yang 'tidak cukup telinga' nak mendengar celoteh masing-masing. Nora hadir dari Kuantan, Bihah dari Damansara, lebih manis bila Jae dapat bersama, yang juga pertama kali ku jumpa selepas tingkatan lima, Shima dan Dr Akmal yang baru pulang dari mekah malamnya juga sudi bertamu dengan buah tangan dari sana serta air zam-zam...Sheila dan suami juga sudi datang, Jana atau lebih mesra kami panggil princess tiba juga, Lebih manis bila sahabat penulis Dear Yayah kami muncul dengan buku terbarunya , catatan dari eau Claire, sahabat yang lebih di kenali dengan nama Farihah iskandar di kalangan peminatnya.
Sungguh bererti permulaan tahun 2014 ini, persahabatan yang kami bina dari zaman remaja tidak pudar di telan zaman. Kemesraan yang kita pupuk sepanjang meniti alam persekolahan berasrama tidak luput ditelan arus kemodenan. Begitulah kami, berpisah dan menyambung semula seperti tidak pernah berjauh. manis bukan? Bertuahnya kami menjadi pelajar dibawah satu bumbung suatu ketika dulu.

Topik perbualan? ahaaa...jika ingin dibincang satu novelpun tidak cukup .....
oh yaaaa.....menu baru kubawa hari tu adalah Yam Pudding! menu impromptu apabila aku gagal mendapatkan pumpkin di kedai berhampiran. Moga Kalian gemar dengan Puding baru itu! :)  :)
terima kasih sahabat, kerana membuat liku-liku hidup ini menjadi lekuk yang penuh kenangan indah.

Dan aku tiba-tiba rindukan kamu, Nong, Fid !!

wassalam.

semuga semua kalian yang menjenguk laman ini diberi ketenangan dan rahmat sepanjang 2014 ini.

Monday, December 16, 2013

Terusik

Agak lama berdiam diri dari blog,
maafkan jika ada yang meninjau dan hampa kerana tiada post terbaru.
1) Lappy sudah uzur, sudah tiba masa mengundur diri dari maya, dan dengan berat hati, terpaksa juga melepas kan dia pergi, kehilangan ini sungguh terkesan, kerana secara tidak sedar, lappy sudah menjadi sebahagian dari rutin hidup antara nyata dan maya. Bersemadilah dengan tenang..(errrkkk...jasadnya masih tersadai di bilik, perlukah di adakan acara pengebumian buat nya???)  Sedikit harapan untuk mengembalikan kehidupanya sudah punah...."model lama ni kak, tak ada spare part dah"...itu kata boy yang tersenyum gelihati di kedai 'repair almost anything' di ibu kota. Mungkin dia bergelak dalam hati..maklum, orang dah pakai model senipis kertas dan sepantas ferarri, aku masih mengusung laptop yang beratnya macam batu lesung kat rumah nenek.....sighhhh...keluhan sarat dengan kesalan di lepaskan...berkerut juga memikirkan files yang banyak yang belum di transfer ke external hard disc. File Kerja pejabat juga banyak yang belum di pindah ke desktop ofis...fuhhhh...minggu seterusnya akan menjadi satu minggu yang panjang untuk seorang aku...

2) Cuti sekolah sudah bermula, dengan itu juga anak lelaki ku merenget untuk balik kampung. Katanya tahun ini dia tidak mahu ke Sabah, rumah nenek sebelah bapanya. Dia bertegas ingin ke rumah kakak ku di Kelantan. Dalam membelek-belek budget untuk mengirim dia ke sana, kakak membeli tiket kapalterbang untuk aku dan dia, 'pulanglah sekali, dah lama u tak balik kampung' itu kata kakak. Aku akur.
Sejak arwah mak pergi setahun lalu, aku cuma balik sekali saja, waktu IdilAdha tahun lepas. Secara spontan mengambil cuti seminggu menghuru-harakan jadual kerja pejabat ku. Dengan 'kematian' lappy juga menjadi isu utama yang harus di selesaikan. Aduhhhh...aturan hidup kita cuma boleh dirancang, tetapi total perlaksanaanya masih di ketentuan Dia, di Atas sana. Kami terus saja berkemas dan menaiki pesawat awal pagi ke kota Bharu. Musim tengkujuh menyambut ketibaan kami dengan hujan renyai . Pendaratan pesawat tergendala sebentar, terkulat-kulat aku menelan debar dan gayat bila pesawat terpaksa berlegar-legar agak lama sebelum di benarkan mendarat. Pilihan untuk senyap tanpa apa-apa pengumuman dari pilot atau co-pilot juga membuat penumpang agak cemas, saling berpandangan dan berdoa. alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik.

3) Sungguh rindu dengan suasana kampung. Aku ambil peluang bersantai dan menikmati suasana di negeri Cik Siti wan kembang dengan aman. Suara curahan hujan menimpa bumi seperti melagukan irama rindu seorang pengembara lara. Mungkin aku selesa dengan hujan tanpa henti, awan hitam berkepul, langit yang sentiasa kelabu tidak merisaukan aku kerana aku cuma duduk-duduk saja di rumah. Tidak perlu keluar berurusan kemana-mana.
Tanpa sedar negeri jiran sudah dinaiki air, Kuantan dan Kemaman mula di limpahi bah yang besar. Meseg dari watsup mula bersesak masuk tanpa henti. liputan langsung dari kawan-kawan di merata daerah mula mengisi ruang cuti ku. Ya Allah, selamat kan lah mereka yang di landa musibah, berilah mereka kesabaran dan permudahkan lah semua urusan mereka. Hanya doa yang mampu di panjatkan. Hujan dan hujan sepanjang 8 hari aku di Pantai Timur. Dua hari pulang ke rumah mak, tempat aku di besarkan, menziarah pusara, mnggeledah barang-barang lama......mengimbau semua kenangan yang kemas tersimpan di rumah itu. Begitu cepatnya masa meninggalkan kita, usia yang semakin meningkat menjadikan aku lebih mudah terusik, kenangan yang dulunya manis dan nakal bertukar kepada sayu, tersentuh hati melihat gambar-gambar sahabat di zaman persekolahan. ahhhh..rindunya pada detik-detik lampau. Melancholic . Aku sering begitu bila berada di rumah kayu kampung dengan teduhan pohon rendang di kelilingnya. Renyai hujan dan mendung seperti memberi tema latar yang sesuai untuk mood begitu. :))))

4) Memulakan jejak kasih mencari teman-teman lama. Sungguh mudah!! Era watsup yang masih percuma menjadikan pencarian agak  santai. Wahhhhh..sahabat-sahabat yang berpuluh tahun tidak berhubung mula memenuhi ruang group watsup ku, satu kemenangan peribadi bila dapat mengeratkan kembali silatulrahim yang sudah lama terputus! Pernah aku tulis tentang Nong dalam entry 'sambal tempoyak bilis ' dulu, Paling seronok bila dapat berhubung kembali dengan 4sekawan ku dulu, Nong, Fidah, Bihah, dan aku, gambar-gambar kami di asrama bergaya sakan mengisi masa sebelum SPM menjadi tatapan waktu terluang. Gelak sakan anak ku melihat gambar kami. Nong jauh di Brunei, Fidah di Alor Star, aku dan Bihah di KL, dan kami dapat bersembang serentak sebelum tidur, satu keajaipan maya yang harus aku tabik spring!! . Tidak kurang juga semua sahabat lain yang aku kasihi selamanya. Semoga persahabatan ini terjalin hingga ke hujung nyawa. (okey, sekarang pasang cd Sheila Majid. lagu selamanya menjadi kegemaran ku)...

**********saya sambung kemudian, line sudah tenat********

Monday, November 18, 2013

Antara Pumpkin pudding dan Chicken Pie

Dalam minggu lepas atas permintaan kawan-kawan, aku buat pumpkin pudding, khas untuk Kak Pah yang balik dari India, dan rakan-rakan yang teringin nak rasa keenakannya setelah di promote secara bersungguh-sungguh oleh kak senior ku di FB..aduhhh...sekarang hari-hari ada yang memohon resepi dan memohon masak kan untuk mereka. Hmmmmmmm...kuota untuk bulan ini sebenarnya sudah rabak untuk dibelanjakan , maksudnya nya kuota bajet untuk menjamu kawan-kawan.
Anak pula tiba-tiba kepingin Pie, chicken Pie yang mak masak..demi anak, buat jugak lah untuk dia, dan bila gambar dipaparkan kat dinding FB, Pie itu juga menjadi perhatian, ishhh..melambung-lambung Like kat gambar Pie tu? Kemudian masuk pula inbox permintaan resepi untuk Pie tu. Kadang-kadang aku hairan, punya banyak resepi kat google/web/tenet, tapi kenapa resepi masih di minta melalui personal? Apakah resepi di laman sesawang tak betul? tak boleh di pakai? Aku selalu ikut juga resepi nih, dan ubah lah mengikut citarasa kita, tak semestinya nak ikut bulat-bulat apa yang terpapar kat blog atau laman masakan tu kan?
Aku bukan tak mahu bagi resepi, aku cuma malas nak menaip satu persatu mengikut aturan. Dan Masalah utama nya, aku masak tak ikut sukatan, semua campak-campak dan agak-agak..jadi bila diminta, aku memang tak tahu nak tulis berat ke, isipadu ke bahan-bahan yang aku guna...ishhhh..susahlah nak sukat satu-satu benda yang nak di guna. Ada juga mohon gambar step by step..waduhhh...aku bukan chef yang nak jual buku masakan, sampai nak ambil gambar step by step, buang masa tau. :)
Pengalaman menjadi jurugambar untuk buku resepi buat aku muak dah nak ambil gambar masakan sendiri. Camana eh, bila tak bagi di kata sombong, kedekut ilmu, bila bagi tapi agak2 sukatan diberi, pun di kata tak mau berkongsi resepi.............Hmmmmmmmmm..suka kau lah labu.....

Tunggulah satu hari, bila ada Vitamin R datang, aku cuba paparkan step by step siap sukatan dan timbangan ya...buat sementara ni, aku nak gi cari timbang dan cawan penyukat dulu kat kedai. :)

byeeeeeee...

Thursday, November 14, 2013

ngantuk tahap gaban

Friday.
Hujan dan agak lembab .
Kemalasan dan mengantuk melanda bagai taufan musim tengkujuh, datang bertimpa-timpa tanpa di undang, di layan pun tidak, Kelopak mata bagai di tarik-tarik dan di tekan-tekan supaya tertutup, diusap pula dengan aroma sejuk ekon dan bunyi angin sepoi-sepoi bahasa. Indah nya jika ada bantal di saat begini...
Dalam melawan rasa cuak mengantuk, cuba cuba pula melayari webs, mana tahu jika ada berita yang boleh membuka mata.
Berita sedih, trauma, mengejutkan tentang kematian gadis 16 tahun di Singapura, disyaki dibunuh oleh pembantu rumahnya sendiri membuat dada sesak. Belum reda dengan kisah pegawai keselamatan dengan IC palsu, rompakan, kini pembunuhan di dalam rumah sendiri, oleh pembantu yang sepatutnya menjadi pelindung pada  gadis remaja, apa nak jadi dengan dunia sekarang. :(  :((

Brows beralih pula ke isu-isu yang kurang menyesakkan dada, ternampak nama Babyrina muncul, ada dua post dari contact yang menyebut nama tersebut. Muncul pula komen-komen nakal mengusik nama itu..Eh ..siapa empunya nama itu? Kenapa aku tak kenal? Google punya google "Oooooo" ada cerita hangat lama rupanya. Patutlah aku tak familiar, zaman tu aku masih buta It lagi, dan pemilik komputer yang mempunyai talian internet cuma mereka yang kaya dan berada saja. Nak harap komputer kat kolej, hmmm beratur berlingkar mengalahkan ular sawa kenyang pun belum tentu dapat... sensasi juga cerita nya. ahaks.

Adehhhh..panggilan telefon tadi sudah memutuskan semangat aku untuk menulis, sudah terlupa pula apa yang hendak di tulis sebenarnya. Ishhhh...payah juga menjadi seorang yang sudah meningkat usia ni ya...asyik-asyik terlupa. ho ho hooo...
Huuuaaa....menguap datang kembali...mungkin menulis bukan idea yang bagus. Mungkin bantal adalah lebih baik. Mungkin......Zzzzzz  ZZzzzzzZzzzZzZzzzzzzzzzzzz.....bye. kena berenti sebelum aku melalut ke cerita yang melebihi aras 13PG pulak nanti..huhuhu....

Thursday, November 7, 2013

Kimchi Mek Klate



Kimchi, makanan atau lebih tepat lauk sampingan masyarakat Korea yang mendapat perhatian di seluruh dunia. Bagaimana sebuah Negara boleh mempromosikan makanan tradisi mereka sehingga menjadi buruan masyarakat luar terutama di Barat yang rata-rata sifat ego terhadap budaya sendiri yang begitu tinggi? Kimchi, oh Kimchi. Mungkin ramai yang menonton The Kimchi family di Malaysia. Malah bintang filem Korea dan kumpulan music atau band boys mereka cukup terkenal dan menjadi kegilaan ramai gadis Melayu. Dari Winter Sonata ke Oppa Gangnam , semuanya menjadi siulan santai anak-anak Malaysia. Banggakah kita dengan fenomena baru ini???

Apa kata kita promosikan makanan tradisi kita pula,
tempe goreng rangup?
Sambal ikan bilis petai?
Jeruk Binjai?
Jeruk petai?
Tempoyak?
Patin masak asam pedas tempoyak?
Gulai lemak cili api ikan keli?
Kuah lodeh/lontong dengan sambal kicap pekat?
Rendang pekat?
Chili jeruk, sambal jeruk, mangga jeruk, serunding, sambal ikan , sambal kelapa, Oh banyak nya makanan kampung yang aku rindui!!

(Sekarang saya sudah kecur..adalah orang melilau cari jeruk time lunch nih) 

Sebenarnya Jeruk adalah tradisi orang melayu kita juga. Aku ingat sejak kecil memang beratur balang-balang jeruk petai, tempoyak dan cili kat dapur nenek. Zaman dulu belum ada peti sejuk dan cuaca kita yang panas mempercepatkan proses bakteria dalam makanan kita, menjadikan nya cepat basi. Menjeruk adalah salah satu teknik bagi menjadikan sesuatu makanan tahan lama tanpa melalui proses sejuk beku.

Kenapa Kimchi pula yang menjadi bualan? Kenapa?? Kenaaapaaaaaaa…? bergema-gema pertanyaan datang mengetuk fikiranku yang memang sudah berserabut dengan pelbagai subjek lain.
Huh, mungkin rupa paras pelakun Korea yang sering muncul di kaca TV tempatan itu sudah ‘brainwash’ kepala otak kita untuk turut sama memakan makanan mereka juga..berangan kut-kut dah serasi dengan makanan Korea dapat kawan dengan mat-mat atau mek mek Korea pulaaaa…..hah hah hahhhhh….

Melalutlah pula hari ni…dah lama tak MEMblog..macam dah lupa pula gaya atau style penulisan sebelumni.Hmmmmmmmmm tak kesahlah , suka akulah, Blog sendirikan?. :P

Sebenarnya aku ada membeli Halal Kimchi kat kedai, ready to eat pack, dan rasanya huhhh..tak sama macam yang di hidang di restoren mahal Korea. Lalu aku mula study aka google search cara-cara membuat Kimchi tradisi. Fuhhh punya banyak cara yang di pos ke web rupanya. Variasi yang pelbagai ini merupakan keyunikan Kimchi itu sendiri, Resepi Kimchi boleh di ubah mengikut citarasa masing-masing..wahhh..bahan-bahan yang paling asas adalah Tapa cabbage, sayuran lain boleh ditambah mengikut selera. Saya suka!
Rasa juga berbeza, selagi ada keseimbangan antara masin, masam , manis dan pedas, dan yang penting sedap dengan lidah kita, bermakna Kimchi kita menjadi..Ehh Ehhh…inipun aku suka!
Dalam banyak-banyak cara dan resepi yang di poskan di laman web, ini yang paling aku suka, sila klik sini untuk baca secara details. Aku ikut resepi ini untuk cubaan Kimchiku yang pertama, tetapi Tapa cabbage ku potong terus ke 'bite size' , senang nak simpan dan makan..heh heh heh
Selamat Mencoobaaaa! 
Kimchi ku bukan jadi kimchi Korea, tapi akan jadi Kimchi Mek Klate, next batch aku nak cuba letak budu ganti fish sauce tu, amacam???  :)  :)   


😏😏
** Oleh kerana tenet NAZAK, saya akan attached gambar kemudian, sorryyyy**


Thursday, October 3, 2013

Pumpkin Flower

Tetiba teringin makan pengat Labu! :)



Entah kenapa, minggu ni menjadi minggu aku melayari maya dengan sepi. Maksudnya, tanpa bersembang dengan siapa-siapa. Kalau di mukabuku sering saja berceloteh terus di dinding2 maya itu, bergelak gumbira dengan joke atau topik yang melucukan. Bila belek-belek semula, tak sedar rupanya dah hampir 5 tahun aku berada di alam Flikr. Alam perkongsian minat pada photography, perkongsian rasa yang di terjemahkan dalam bentuk gambar.   Di blog pula aku suka mencurahkan rasa yang di kiaskan dalam bentuk kata-kata. Sungguh berbeza. Kadang aku rasa macam aku ni dua manusia yang berlaianan ...ehh..macam ada split personality la pulak!! eheeee.

Apapun, hari ni tetiba teringin nak makan pengat labu. Turun cafe kat bawah tadi intai kut kut ada masak lemak labu putih ka......hampa, Tapi oh yeahhh, ada tempura labu! eh..sedap pula tau, isi labu di potong sederhana dan di salut dengan tepung tempura, goreng ......tadaaaaaa...rangup lemak di luar, lembut lemak manis di dalam. SEDAP!!

Apa pula kena mengena mukabuku, blog , flickr dan Labu? Adoiiiiii...kan, aku memang selalu begini, berkecamuk dengan topik yang saling tidak ada kena mengenapun. heh ehhh hehh..
Nah, gambar bunga labu dari flickrku, dan kalau tak tahu, bunga labu ni ada jantan betina tau, Dan, bunga labu jantan sedap di masak tau! Lebih lanjut bacalah  kat flickr , kat komen2 dalam gambar tentang bunga labu. Chowwww..Salam Jumaat semua.

Gambar bunga labu sini