Sepuluh hari begitu cepat berlalu. Hampir setiap hari Daniel datang menjenguknya. Sehingga hari terakhir, dia datang berkunjung dan makan bersama keluarga Safiya yang turun ke Kuala Lumpur juga. Ibu, abang, kakak, dan anak-anak saudara Safiya semua mahu menghantarnya ke Airport.Semua mereka juga sudah mesra dengan Daniel Ashraf.
Kesibukan menyediakan pelbagai persiapan membuatkan Safiya tidak sempat untuk memikirkan mengenai hubungan mereka berdua. Biarlah, mungkin benar kata Dani, serahkan semuanya pada Takdir. Safiyah seperti pasrah dengan keadaan itu.
Sewaktu semua berkumpul menghantarnya ke pintu gerbang untuk masuk ke ruang berlepas juga masih sempat Daniel menarik tangannya dan membisikan “I miss you already” ke telinga Safiya, yang ketika itu cuma mampu tersenyum bersaksikan semua keluarga dan rakan baiknya.Hairi dan Qasyif, teman kuliah zaman Universiti tersenyum memandang sambil mengangkat kening. Raizi teman sekolah Safiya mengenyitkan mata. “keep your options open” Raizi pernah berkata padanya sewaktu Safiya mengadu tentang kekaburan perasaannya. Apa lagi yang mampu di tuturkan saat saat sebak menguasai rongga pernafasan. Perpisahan, dengan segala kemungkinan yang menunggu esok seakan berasak-asak menekan perasaan Safiya. Gagah dia tersenyum pada setiap mata yang memandang, terutama pada Emak. “Doakan Safi mak”, itu saja yang mampu terucap. Genggaman salam berakhir di pintu bilik berlepas Terminal 1, lapangan terbang Subang.. Sebak seperti merebak pada tiang dan lantai balai besar itu. Longlai dia mengatur langkah yang sarat berteman sebu yang semakin menggunung.
Bersendirian diruang berlepas, perasaannya tidak dapat di gambarkan. Benarkah keputusan yang di ambil ini? Pergi ke dunia lain sendirian, tanpa seorangpun sahabat menemani pengajiannya nanti?. Di lihat sekelilingnya, dia dapat melihat beberapa wajah yang agak familiar, mungkin pernah di lihat sewaktu berurusan dengan MARA, penaja pengajiannya nanti. Dari pakaian dan lencana yang di semat ke jeket masing-masing, Safiya tahu, mereka akan menaiki satu kapal terbang ke Heathrow, kemudian masing-masing akan menyambung perjalanan ke Universiti yang di mohon. Berdebar juga Safiya, maklum, inilah pertama kali dia akan berlepas ke Negara Barat , tanpa ada kawan untuk berkongsi rasa pula.
Empat belas jam perjalanan, begitu lama dan membosankan. Ada dua pelajar lelaki yang silih datang untuk berbual dengan Safiya, sekadar mengisi masa penerbangan yang lama. Mereka agak ramah, tapi mereka akan meneruskan perjalanan ke Dublin dari London nanti. Sementara Safiya akan mengambil connecting flight ke Aberdeen. Namapun masih asing di bibir Safiya. Bagaimana suasana di sana nanti?. “serahkan saja pada Takdir” kata kata Daniel berligar di kepalanya.
Ketibaan di London di sambut oleh angin sejuk dan gerimis. Agak kecoh untuk menyambung penerbangan ke Scotland apabila pihak British Airways menyatakan Safiya perlu check in semula semua bagasi. Sewaktu di Kuala Lumpur pihak Mas memberitahu sudah menguruskan hal bagasi bagi penerbangan bersambung. Kekalutan membuat Safiya tidak perasan sangat keadaan sekeliling. Terasa seperti mendarat di Madras pun ada. Kebanyakan pekerja am di situ adalah dari warga Pakistan dan India.
Cabaran pertama sudah bermula sejak menjejakan kaki di bumi asing itu.
“Nur Ainn Safiya?” Satu suara mengejutkan Safiya. Dia yang selamat mendarat di lapangan Terbang Aberdeen dan memerhati sekeliling sambil berkira-kira dimana harus memulakan pertanyaan. Suasana di sekeliling semuanya kelabu, sejuk dan angin dingin agak kuat terasa menusuk sampai ke tulang hitam. Safiya menarik jacket nipis rapat rapat ke badannya. Tidak disangka begitu sejuk sekali, walhal baru awal September.
Safiya menoleh ke arah suara yang menyebut namanya dengan pelat pekat agak asing di telinganya. Tidak di ketahui pula ada orang akan menunggunya di situ.
“Nur Ainn Safiyya” Lelaki berhidung mancung itu mengulangi sekali lagi, sambil memegang secebis kertas.
“yes, that’s me “ Safiya tersenyum. Rasa lega mengisi perasaan yang gusar setelah hampir 20jam melalui perjalanan.
“I’m Shaun” Lelaki itu memperkenalkan diri menghulur tangan. Salam bersambut. Safiya mengangguk.
“follow me please, I just received a call mentioning someone actually coming here today, from Malaysia right?” Panjang lebar Lelaki itu menjelaskan. Sambil dia mengangkat beg besar Safiya. Beg sandang kecil yang di bimbit Safiya juga ingin di ambilnya.
“it’s ok, I can handle this, thank you”. Cepat cepat Safiya menyandang beg bimbitnya. Wahhh, gentleman sekali mat saleh ni. Fikir Safiya mengulum senyum.
“anyone else coming here today?” Safiya cuba membuka perbualan sambil berjalan mengikut Shaun. Langkah Shaun yang panjang begitu cepat Safiya rasa.
“Nay, only you. “ Sahaun menjawab ringkas , menghampiri sebuah pacuan SUV. Shaun membukakan pintu untuknya.
Safiya berterima kasih, agak lega. Sambil Shaun memandu dia mengambil peluang meninjau pemandangan yang sungguh berlainan dari tanah airnya. Gerimis dingin meninggalkan tetesan jernih di cermin kereta. Ada rindu menjenguk di hatinya. Ada juga Satu rasa yang anih bertamu, yang mungkin akan menukar lukisan di hati nya. Mungkinkah…?.
Berbisik rindu,
pada titik titik jernih
dalam hujan hati
membanjiri mimpi
yang sudah hilang seri.
Berbisik rindu,
pada bekas bekas luka
di atas kaca rasa
yang masih basah di dada.
Berbisik Rindu,
dalam gerimis petang,
sejuk sendu bertandang
pada jendela jiwa kontang,
sebuah igaun walang,
dalam kamar usang,
kelam.
ojie~copyright reserved.
No comments:
Post a Comment